Jenayah & Mahkamah

Jana Wibawa: SPRM nafi ada unsur pendakwaan terpilih

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuhan Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang mengatakan terdapat pendakwaan terpilih dalam isu melibatkan pertuduhan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM hanya menjalankan siasatan secara profesional berdasarkan kepada aduan dan maklumat yang diterima daripada pengadu.

“Apabila kita terima satu aduan, dan maklumat serta ia mengandungi unsur-unsur kesalahan jenayah terutama sekali di bawah akta kami, maka siasatan kita akan dijalankan.

“Jadi SPRM ini saya tegaskan sekali lagi, kita bukan alat mana-mana parti politik dan sebagainya.Kita menjalankan siasatan berdasarkan kepada keterangan yang ada. Jadi tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ selepas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Azam berkata, beberapa lagi kertas siasatan berhubung projek Jana Wibawa akan dibuka untuk tindakan seterusnya.

“Siasatan kita masih dijalankan. Beberapa kertas siasatan telah dibuka dan kelmarin kita telah siapkan dan telah dikemukakan kepada Peguam Negara, dan dijalankan pertuduhan.

“Ada beberapa kertas siasatan lagi masih dalam tindakan. Pegawai saya sedang menyiapkan kertas siasatan berkenaan. Bukan sahaja pemimpin, mana-mana pihak pun sekiranya terlibat dalam menerima suapan, untuk suatu perkara yang menyalahi akta kita, maka mereka akan dicadangkan pertuduhan di mahkamah.

“Sebelum ini sudah ada 3 IP (kertas siasatan). Saya rasa ada dalam 3, 4 lagi IP. Itu bergantung kepada kes-kes yang dibuka,” jelasnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button