Jenayah & Mahkamah

KDN rampas produk Al-Quran elektronik tiada kelulusan, wanita dipercayai penjual dan pengedar ditahan

PUTRAJAYA : Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 1,332 unit Al-Quran elektronik dan bahan Al-Quran tidak berkelulusan dalam operasi di sebuah rumah teres di Kajang dekat sini pada 20 Januari lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, dalam Ops Mulia yang dijalankan mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) itu, KDN menahan seorang wanita yang dipercayai pemilik dan pengedar produk bernilai kira-kira RM55,000 itu.

“Wanita berusia 30-an itu dipercayai menjadi pengedar kepada produk dan bahan-bahan Al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan sejak tiga tahun lalu.

“Selain mempunyai premis jualan dan ejen jualan di seluruh negara, individu itu juga dipercayai bergiat aktif dalam jualan secara dalam talian,” katanya pada sidang media di Dewan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN petang ini.

Nik Yusaimi berkata, produk berupa pen yang boleh mengeluarkan bunyi audio rakaman, naskah Al-Quran dan peranti sedia pasang itu didapati tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan.

Katanya, hasil semakan yang dilakukan oleh Ahli Lajnah Tasheh Al-Quran yang dilantik KDN juga mendapati produk berkenaan mempunyai pelbagai kesalahan.

Antaranya adalah kesalahan sebutan dan tajwid yang menyebabkan kesalahan maksud dan terjamahan.

Sehubungan itu beliau memberi amaran kepada orang ramai khususnya peniaga dalam talian supaya menghentikan jualan produk yang boleh mengelirukan itu.

“Untuk makluman, setakat ini kami telah meluluskan 54 produk Al-Quran elektronik yang telah melalui tapisan dan pemeriksaan secara teliti.

“Jika disabitkan bersalah, individu terlibat boleh dihukum sehingga 5 tahun penjara dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali atas kesalahan yang dilakukan.

“Orang ramai juga diminta supaya tidak membeli sebarang produk Al-Quran elektronik yang tidak mempunyai pengesahan atau tanda hologram KDN,” katanya.

Dalam pada itu Nik Yusaimi menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai pengedaran atau jualan produk Al-Quran elektronik kepada KDN di talian 03-80008000 atau melalui laman web KDN di www.moha.gov.my

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button