Berita Semasa

Naikkan harga lantai getah beku, daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah beku bagi membantu golongan penoreh yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi hasil getah.

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau mencadangkan harga lantai getah beku dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.

Katanya, sebanyak 320,000 pekebun kecil getah di kampung-kampung pada masa kini merupakan antara yang terjejas teruk.

“Sudah sampai masanya Kerajaan mempertimbangkan harga lantai getah beku dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.

“Langkah ini untuk mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh kira-kira 320,000 pekebun kecil getah di seluruh negara disebabkan kenaikan kos sara hidup,” katanya ketika membahaskan titah diraja dalam sidang Parlimen hari ini.

Tambah Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bera, beliau juga mahu mengetahui perkembangan Program Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) bagi kegunaan menurap jalan kampung di seluruh negara yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk pembangunan teknologi CMB dan 59 lokasi telah mendapat manfaat dengan pembinaan turapan jalan Cuplump Modified Asphalt (CMA) melibatkan jalan sepanjang 202.68 km.

“Saya difahamkan hanya 0.08 peratus daripada jumlah semasa pengeluaran getah negara digunakan dalam penurapan jalan menggunakan teknologi (CMB) pada 2019.

“Jadi, apakah status pelaksanaan program ini kerana ia terbukti mampu meningkatkan penggunaan getah yang secara tidak langsung akan membantu menambah pendapatan pekebun kecil?,” soalnya.

Show More

Related Articles

Back to top button