Berita SemasaPM X

‘Kita sedang bergelut melakukan islah kerana ada masalah’ – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap tindakannya mendedahkan isu dalaman negara termasuk isu rasuah ketika kunjungannya ke luar negara sebagai perakuan bahawa banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi memperbetulkan keadaan.

Sebelum ini, terdapat tanggapan bahawa tindakan sedemikian seolah-olah menghina rakyat Malaysia dengan mendedahkan situasi yang berlaku dalam negara.

“Ada yang sebut saya mengecam Malaysia di luar negara… ini kenyataan, sama ada di Jakarta (Indonesia), Thailand… saya akan sebut.

“Mengapa saya hendak beritahu Malaysia negara yang 100 peratus bersih, nampak sangat saya penipu… saya beritahu apa sebenarnya, kita sedang bergelut melakukan islah kerana ada masalah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai pelantikan anggota pentadbiran tertinggi yang berdepan kes di mahkamah ketika ini menjejaskan agenda Malaysia Madani.

Semalam, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mendakwa ucapan Perdana Menteri ketika lawatan kerja ke luar negara seolah-olah menghina rakyat Malaysia dengan mendedahkan situasi yang berlaku dalam negara.

Sementara itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa konsep Malaysia Madani dibangunkan untuk semua masyarakat majmuk di negara ini dan tidak hanya tertumpu kepada umat Islam.

Beliau meminta supaya tiada pihak ada prasangka berhubung konsep berkenaan yang sebenarnya membawa prinsip ihsan, rahmah, adil dan amanah kepada semua masyarakat.

“Keperluan kita mengangkat dan menghayati konsep ini yang harus merangkul semuanya umpamanya adil… ia bukan sahaja pada orang Islam tetapi semua.

“Begitu juga jika bercakap soal sekolah daif atau kemiskinan tegar… saya tidak kata Cina ke Melayu ke Kelantan ke Tambun tapi semua berasaskan prinsip ihsan, rahmah, adil dan saksama.

“Saya beri jaminan kepada YB (Yang Berhormat), rakan bukan Islam, jangan gentar sebab ia istilah Arab (Madani)…. takkan saya nak pakai ‘democratic accountability’, bila sebut Madani jadi tidak betul.

“Jangan prasangka kerana asalnya ia konsep Islam tapi saya beri jaminan di Malaysia ini konsep Madani untuk keadilan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button