Berita Semasa

Hentikan perbuatan yang boleh timbulkan huru hara – Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius berhubung satu acara melibatkan perarakan replika bersenjata tajam yang berlangsung dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada Jumaat lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perarakan replika bersenjata yang tular di media sosial ini telah menimbulkan suatu kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri dilihat semakin memuncak.

“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion & royalty) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan.

“Maka sudah tentu apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ‘military’ amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lebih memburukkan keadaan apabila klip video yang disiarkan berlatar belakangkan nasyid dalam bahasa Arab yang menekankan tema peperangan.

“Saya ingin memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara kepada rakyat dan negara.

“Tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.

“Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ianya sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara. Segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button