
Murid rosakkan harta benda sekolah didenda sertai khidmat komuniti
KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku termasuklah vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, pihak pentadbir sekolah di semua peringkat seringkali diingatkan untuk mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.
“JPN Pulau Pinang mengambil maklum tentang rakaman video tular, yang mana memaparkan perlakuan murid merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.
“JPN Pulau Pinang amat kesal akan kejadian tersebut dan akan memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.
Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, tindakan sewajarnya sedang diambil oleh pihak sekolah, yang mana sekolah telah memanggil murid yang terlibat bersama waris mereka pada hari ini bagi membincangkan isu ini.
“Murid akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi. Nilai kerugian kerosakan harta benda turut sedang dalam siasatan.
“JPN Pulau Pinang sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian. Justeru kempen hentikan vandalisme serta pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiatkan agar selari dengan tujuh teras KPM,” katanya.
Sementara itu, JPN juga meminta portal yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka murid untuk memadam video tersebut kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune