Waris Sulu sekali lagi tuntut aset Petronas bernilai RM64.5b
LUXEMBOURG – Kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu sedang berusah mendapatkan anugerah AS$15 bilion perolehan terhadap Malaysia melalui anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Luxembourg.
Semalam, laporan Reuters bertajuk ‘Petronas units in Luxembourg seized again in AS$15 billion arbitration dispute,’ melaporkan bailif mahkamah Luxembourg telah mengeluarkan perintah sitaan baharu.
Namun Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tuntutan terhadap dua anak syarikatnya di Luxembourg (Luxcos) sebagai tidak berasas dan akan dipertahankan.
“Kesemua usaha kini tertumpu kepada prosiding pengesahan yang mana mahkamah akan menentukan merit tuntutan dan Luxcos mempunyai hak untuk pembelaan,” katanya hari ini.
Pada Julai tahun lalu, aset Petronas iaitu Unit Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus dirampas waris Sulu.
Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa Malaysia telah memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.
Semalam, Azalina dalam Dewan Rakyat menjelaskan, keputusan permohonan rayuan oleh Malaysia terhadap perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 September lalu dijangka akan dikeluarkan pada Jun ini.
Waris kesultanan Sulu sebelum ini dilapor menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.