Berita Semasa

Apandi tidak layak diberi pampasan – Tun M

CYBERJAYA – Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said merahsiakan terma penyelesaian kes saman Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.

Kata Tun Mahathir, beliau perlu mengetahuinya kerana beliau beranggapan Apandi tidak wajar menerima sebarang pampasan.

“Saya berasa hairan dengan keputusan Azalina untuk merahsiakan terma penyelesaian terhadap tuntutan Apandi berikutan penamatan kontraknya.

“(Sedangkan) Apandi sendiri memberitahu jumlah pampasan yang wajar diterimanya dalah sebanyak RM2,233,599.36,” kata Tun Mahathir dalam siri ciapan di akaun Twitter miliknya, hari ini.

“(Bagaimanapun) Pampasan yang diberikan oleh kerajaan dirahsiakan. Kenapa?

“Saya perlu mengetahuinya kerana pada saya, dia (Apandi) tidak wajar diberi pampasan langsung,” kata Tun Mahathir lagi.

Pada Selasa, Azalina dalam jawapan bertulisnya memaklumkan sidang Dewan Rakyat bahawa kes sivil itu telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

Terma penyelesaian berhubung kes tersebut pula dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Semasa rundingan penyelesaian dijalankan bagi penyelesaian tersebut, pihak-pihak kepada guaman ini, khususnya pihak plaintif (Mohamed Apandi) yang diwakili oleh Tetuan Shukor Baljit and Partners, dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju supaya terma-terma penyelesaian dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada pihak umum,” kata Azalina.

Jawapan tersebut adalah bagi menjawab soalan M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada Mohamed Apandi apabila kerajaan menyelesaikan kes saman itu.

Pada 13 Okt 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Tun Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu pada 2018 sebagai tidak sah.

Bagaimanapun, pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi Putrajaya membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Show More

Related Articles

Back to top button