
Angka kematian akibat gempa di Turkiye melebihi angka 41,000
BANGI – Angka kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria sehingga kini meningkat kepada lebih 41,000 nyawa.
Pada masa yang sama, masih ramai mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan berjaya diselamatkan oleh anggota penyelamat.
Dalam penemuan semalam, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya dikeluarkan selepas terperangkap dalam runtuhan selama hampir 248 jam di daerah Dulkadiroglu wilayah Kahramanmaras, lapor Sputnik.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan, jutaan mangsa yang terkesan memerlukan bekalan makanan, perubatan dan kelengkapan asas.
Walaupun Turkiye dan Syria telah menerima banyak pasukan penyelamat dari seluruh dunia, jumlah itu dikatakan masih terlalu jauh dari mencukupi kerana kesan bencana yang terlalu hebat.
Presiden Jawatankuasa Persatuan Palang Merah, Mirjana Spoljaric Egger, keadaan lebih kritikal dilaporkan di Syria dan amat memerlukan perhatian dunia.
“Selama lebih sedekad rakyat Syria diuji dengan peperangan dan konflik senjata. Pada 6 Februari lalu, gempa bumi yang melanda wilayah utara telah menyebabkan kemusnahan yang lebih dahsyat tidak kira di mana mereka berada,” katanya memetik laporan media antarabangsa semalam.
Mirjana berkata, usaha menyelamat dan merawat mangsa di Syria juga mencabar kerana faktor akses dan kekurangan sumber dari kerajaan.
Di banyak kawasan yang terjejas, mangsa-mangsa berdepan kebuluran kerana tiada bekalan makanan dan air bersih yang mencukupi.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa lalu melaporkan sebanyak 35,418 orang terbunuh dalam gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda bandar tenggara Kahramanmaras.
Ia merupakan gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah Turki dalam tempoh 80 tahun.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune