Radzi gesa PM kemuka senarai pegawai diletak dalam ‘peti sejuk’
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk mengemukakan jumlah pegawai kanan kerajaan yang ditempatkan di dalam ‘pool’ atau peti sejuk selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara November tahun lalu.
Menurut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, jumlah yang perlu dikemukan merangkumi kumpulan mengikut gred dan senarai pegawai kanan JUSA B ke atas yang terlibat dalam pertukaran.
Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) meletakkan beberapa orang pegawai tertinggi perkhidmatan awam ke dalam ‘pool’ atau peti sejuk adalah tindakan yang amat tidak wajar.
“Ada juga Ketua Setiausaha (KSU) kanan yang terbukti menjalankan tugas dengan cemerlang diletakkan di kementerian yang jauh lebih kecil dengan jawatan yang tidak setara.
“Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada mereka,” katanya ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan, beliau juga mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan lebih awal dan dianggap telah merugikan negara.
“Apakah salah mereka? Jika tidak ada kesalahan yang dibuktikan, mengapakah hukuman telah dijatuhkan lebih awal?
“Tindakan sebegini adalah satu kerugian kepada negara kerana khidmat dan kepakaran mereka tidak digunakan secara optimum.
“Tindakan tersebut adalah tidak adil kerana memberi gambaran negatif seolah-olahnya mereka telah membuat satu kesalahan yang besar atau prestasi perkhidmatan mereka amat teruk,” tegasnya lagi.