
Ambil iktibar, elak skandal kewangan besar akibat pemusatan kuasa – Radzi Jidin
KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dinasihatkan untuk mengambil iktibar daripada skandal kewangan terbesar yang berlaku akibat pemusatan kuasa sewaktu kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-6.
Menurut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini memperjuangankan supaya Perdana Menteri tidak turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan hanya membisu.
“Kita seharusnya mengambil iktibar daripada pelbagai skandal kewangan yang amat besar berlaku sewaktu pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya dibawah pimpinan Perdana Menteri ke-6.
“Menyedari kesan buruk akibat pemusatan kuasa ini, ramai sahabat kita dalam Pakatan Harapan (PH) ketika berada di blok pembangkang telah memperjuangkan supaya Perdana Menteri tidak turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.
“Antara yang lantang menyuarakan perkara ini adalah YB Pandan, YB Segambut dan YB Kota Raja. Jelas, pemimpin PH sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.
“Tapi amat menyedihkan apabila YAB Tambun selaku Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan, sahabat semua senyap menikus,” katanya dalam sidang Parlimen hari ini.
Tambah Dr Radzi, yang juga bekas Menteri Pendidikan, Perdana Menteri ketika ini bukan sahaja memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan malah turut memegang portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan yang telah ditukar kepada Jabatan Wilayah Persekutuan.
Untuk rekod, Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri tidak memegang sebarang portfolio menteri.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune