
DXN bawa identiti Malaysia ke serata dunia
CYBERJAYA – Memperkenalkan kopi tempatan ke pasaran antarabangsa khususnya di negara seperti Itali, Mexico, Peru dan Bolivia mungkin kedengaran agak janggal dan tidak begitu meyakinkan.
Cabaran bersaing dalam pasaran yang sudah lama dimonopoli jenama-jenama kopi gergasi kedengaran seolah-olah usaha yang belum tentu membuahkan hasil.
Namun itulah cabaran yang disahut pengasas DXN Holdings Berhad, Datuk Dr. Lim Siow Jim sehingga menjadi antara syarikat kopi terbesar di Amerika Latin dan beberapa negara seperti Morocco, India, Arab Saudi, Filipina dan Eropah.
Meskipun usaha menembusi pasaran luar negara berdepan cabaran yang agak getir, Dr. Lim tidak pernah mempunyai alasan untuk mengalah.
Bahkan beliau percaya kejayaan bertapak di negara yang terkenal dengan ‘budaya kopi’ akan membuka peluang yang lebih besar.
Dari perspektif perniagaan, beliau tidak melihat cabaran itu sebagai sesuatu yang terlalu sukar untuk ditangani berdasarkan kejayaan yang telah dicapai di tanah air sendiri.
Bagi Dr. Lim, strategi utama yang dapat menentukan kejayaan dan hala tuju produk adalah dengan mengekalkan rasa kopi Malaysia sebagai satu identiti.
“Di Mexico mereka menetapkan pelbagai syarat yang mustahil untuk ‘memberitahu’, saya tak dialu-alukan berniaga di sana. Di Itali pula mereka dengan sinis mempersoalkan kualiti kopi kita.
“Saya terima semuanya dengan terbuka. Yang saya tahu ketika itu adalah membawa identiti rasa kopi Malaysia yang tidak sama dengan rasa kopi di sana.
“Apabila mereka mahu mengenakan ‘syarat’ yang tinggi, saya naikkan harga kopi saya di sana, dan sebaik sahaja memasuki pasaran, kopi kami diterima kerana keunikan rasanya,” katanya.
Lebih mengejutkan menurut Dr. Lim, DXN merekodkan jualan sebanyak USD150,000 pada bulan pertama di Itali.
“Sekarang nilai jualan di Peru sudah mencecah RM50 juta sebulan walaupun jualannya agak perlahan dari sebelum ini.
“Pasaran lain yang juga signifikan adalah seperti Timur Tengah berjumlah kira-kira RM500 juta setahun dan Morocco antara RM18 juta hingga RM20 juta sebulan,” katanya.
Beliau berkata, pada masa kini, jualan produk kopi segera DXN di Amerika Latin menyumbang sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan jualan produk yang diasaskan sejak lebih 30 tahun lalu dengan nilai jualan RM2 bilion setahun.
“Pasaran utama DXN kini ada di 180 negara dengan 14 juta ahli menjadikannya MLM terbesar dengan 3 juta ahli aktif.
“Kami juga tidak begitu terjejas semasa pandemik Covid-19, sekarang kami kembali dengan peningkatan 15 hingga 20 peratus setiap tahun.
“Terbaharu yang kami mahu umumkan adalah penyenaraian semula kami ke Bursa Malaysia yang dijangka selesai pada tahun ini,” tambahnya.
Ditanya faktor yang menyumbang kepada kejayaan produknya, Dr. Lim berkata, kopi DXN dikenali kerana campuran ekstrak Ganoederma atau Lingzhi yang mempunyai pelbagai khasiat kesihatan.
“Buat masa ini kami mempunyai 280 jenis produk (SKU). Selain 16 jenis kopi, kami juga dikenali dengan produk-produk lain yang berasaskan Ganoderma, Spirulina dan Noni (buah mengkudu).
“Operasi ladang dan kilang kami seluas 100 ekar di Bukit Wang, Jitra, Kedah ketika ini mampu menghasilkan 1 tan spirulina setiap hari menjadikan kami pengeluar nombor satu dunia,” katanya.
Berkongsi kejayaan mengasaskan sistem MLM sejak lebih tiga dekad lalu, Dr, Lim percaya kepada aspek kemampanan dalam kelangsungan perniagaan.
Beliau juga percaya kepada kekuatan identiti produk yang menjadikan ia kekal dikenali dan diyakini.
“Identiti, kesederhanaan dan beroperasi secara mampan. Ini perkara yang sangat penting dalam kamus perniagaan saya,” kata graduan Indian Institute of Technology itu.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune