Berita Semasa

SPRM sahkan siasatan dakwaan penyelewengan UiTM Holdings

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta kepada UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, beberapa dakwaan sedang disiasat pihak khususnya membabitkan isu dana dan pelaburan dibuat UiTM Holdings.

Beliau berkata, tumpuan siasatan akan dilakukan untuk mengetahui jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan itu.

“Sekiranya berlakunya rasuah dan penyelewengan, maka ia tidak akan terlepas daripada siasatan SPRM.

“Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan membabitkan perbuatan jenayah. Ia juga membabitkan isu tata kelola dan pengurusan yang lemah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dibuka jika perkara itu berkaitan jenayah, khususnya rasuah.

Selasa lalu, laporan ‘UiTM Holdings rugi RM157 juta’ yang disiarkan media mendakwa, jumlah itu adalah berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.

UiTM Holdings Sdn Bhd adalah syarikat pegangan pelaburan milik penuh universiti itu yang menguruskan lapan syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi, dan kreatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata, isu ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta UiTM Holdings diserahkan kepada SPRM.

Show More

Related Articles

Back to top button