Politik

Pemilihan UMNO: Dr Akmal Saleh tawar diri sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin

KUALA LUMPUR – EXCO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin pada pemilihan parti yang akan datang.

Dr Muhamad Akmal berkata, langkah itu diambil bagi menarik semula sokongan rakyat terutama di Jasin kepada UMNO.

“UMNO ini memerlukan pengharapan yang baru dari rakyat terutamanya orang Melayu. Pengharapan yang boleh memberi sinar baru terhadap UMNO.

“Pengharapan yang boleh meyakinkan UMNO ini boleh berubah dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat. Pengharapan bahawa budaya yang lebih segar dan bersih dibawa di dalam parti kita ini.

“UMNO adalah parti kita semua,sudah tentu kita kasih dan sayang pada perjuangan sebenar parti walaupun kita kalah tetapi itu bukan alasan untuk kita meninggalkan perjuangan ini. Apa yang jauh lebih penting,kita masuk dan buat perubahan sehabis baik kita untuk mengembalikan UMNO di hati rakyat.

“Disebabkan itu,saya terpanggil untuk menawarkan diri dan khidmat saya untuk jawatan yang luar dari norma budaya UMNO sebelum ini bagi seorang yang baru berusia 35 tahun,” katanya.

Dr Muhamad Akmal merupakan EXCO termuda yang dilantik selepas menang di DUN Merlimau dalam Pilihan Raya Negeri Melaka lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button