Politik

UMNO telah kemukakan semua maklumat berkenaan usul tambahan PAU2022 kepada RoS

PUTRAJAYA – Semua maklumat berkenaan usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 lepas telah dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala penjelasan serta maklumat yang diperlukan telah diserahkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Kami diberi masa 60 hari untuk memberikan penjelasan terperinci. Saya percaya setiausaha agung kami telah memenuhi semua permintaan RoS dan memberikan semua maklumat yang diperlukan,” kata Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan aduan dua ahli UMNO pada 20 Jan lepas kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan itu.

Majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan agung parti itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.

Ahmad Zahid berkata, perjalanan perhimpunan agung parti itu mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

“Pada hemat saya adalah adil RoS dengar penjelasan dan aduan kedua-dua belah pihak bagi wujudkan suasana harmoni dikalangan ahli dan kepimpinan agar tidak timbul taksiran atau interpretasi pelbagai,” kata beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button