Berita Semasa

Pasukan SAR Malaysia bangga dapat bantu mangsa gempa bumi Turkiye

SEPANG – “Bangga” itulah ungkapan daripada salah seorang ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kumpulan kedua selepas dia dipanggil untuk menyertai misi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.

Menurut salah seorang ahli Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Sanusi Abu Bakar, dia yang pertama kali mengikuti misi ke luar negara berasa teruja pada masa yang sama bangga kerana dapat mengharumkan nama negara.

“Kita banggalah sebab dapat pergi lakukan misi itu. Menjadi satu kebangaan untuk keluarga kita bila ayah mereka pergi menaburkan bakti mengharumkan nama Malaysia di Turkiye.

“Kita Malaysia dapat membantu negara sesama Islam kita, dan dapat mencurahkan kepakaran kita dan digunakan untuk membantu mangsa-mangsa gempa bumi di sana” katanya kepada Malakat Tribune sebelum sesi pelepasan kumpulan kedua Pasukan SAR ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Yang hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali.

Ditanya mengenai kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi cuaca sejuk di sana, Sanusi,39, berkata, pasukan penyelamat telah dibekalkan dengan peralatan yang mencukupi.

“Kita dah sediakan barang-barang macam baju sejuk. Kami dapat maklumat suhu di sana cecah negatif jadi kita memang buat persiapan awal. Apabila terjadinya gempa bumi dan kita memang dah sedia mental dan fizikal.

“Harapan kita di sana supaya kita dapat lakukan tugas itu dengan lancar dan dapat kembali ke tanah air pun dengan selamat,” katanya lagi.

Untuk rekod, pasukan kedua Malaysia terdiri daripada 20 anggota pasukan SMART, Nadma, 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Kedua-dua pasukan SAR yang dihantar ke Turkiye akan berada di sana selama 14 hari dan bebas bergerak ke semua kawasan terlibat untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

Show More

Related Articles

Back to top button