Berita Semasa

MOSTI harap bajet kementerian tidak dipotong

PUTRAJAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang berharap peruntukan kepada kementeriannya dalam bajet tahun ini tidak akan dipotong.

Menurut Lih Kang, beliau yakin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu akan kepentingan sains, teknologi dan inovasi kepada negara, justeru Lih Kang optimis bajet kementeriannya tidak akan dipotong.

“Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu kepentingan sains dan teknologi dan inovasi kepada sesebuah negara. Saya yakin bajet Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak akan dipotong. Saya pun tidak tahu lagi cuma kita perlu tunggu sehingga pengumuman bajet.

“Kalau tanya saya memang saya harap lebih daripada yang diberikan. Kita mahu tambah, tapi kita faham keadaan ekonomi negara kita sedikit terbantut maka pihak MOSTI harap dapat dikekalkan apa yang kita dapat.

“Bidang sains dan teknologi bidang yang amat penting bukan untuk sekarang tapi untuk masa hadapan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Aspresiasi Malaysia Techlympics di Marina, di sini, hari ini.

Malaysia Techlympics berjaya  menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyertaan 1.03 juta peserta sekaligus melepasi sasaran awal yang ditetapkan MOSTI.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, semua pihak perlu berkerjasama bagi memulihkan semula ekonomi seterusnya mengembalikan semula peruntukan bajet seperti sebelum ini.

“Peruntukan untuk kawasan memang dipotong sebanyak 70 peratus, saya faham kita tiada pilihan lain tetapi saya harap dalam tempoh masa enam bulan atau setahun ekonomi kita alan pulih dan peruntukan kepada Ahli Parlimen dapat dipulihkan juga.

“Saya rasa kita kena faham dalam memulihkan ekonomi ini perlu usaha semua pihak saya yakin dengan keyakinan pelabur pada kerajaan hari ini ekonomi akan beransur pulih.

“Untuk bangunkan satu kawasan memang tidak boleh bergantung 100 peratus dana dari kerajaan kerana peruntukan terhad oleh itu kita juga perlu berkerjasama dengan pihak swasta,” jelasnya mengulas tindakan pemotongan bajet Ahli Parlimen.

Show More

Related Articles

Back to top button