Berita Semasa

Inisiatif Menu Rahmah tidak libatkan peruntukan kerajaan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan dan dilaksanakan oleh peniaga yang menyertainya secara sukarela.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inissiatif tersebut mendapat sambutan baik di seluruh negara dengan ramai peniaga bersama menyahut aspirasi kerajaan dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan B40.

“Ramai golongan peniaga berlumba-lumba menyertai inisiatif ini dengan menawarkan juadah serendah RM5 di premis mereka, ini maknanya mereka mahu bersama melakukannya dengan semangat kebajikan tanpa paksaan sesiapa.

“Jadi konsepnya di sini jelas, tiada libat satu sen pun duit kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan inisiatif Menu Rahmah oleh Persatuan Pengusaha Tom Yam Malaysia (Pertom) di Lembah Keramat, di sini malam tadi.

Salahuddin menjelaskan, kementeriannya tidak pernah memaksa mana-mana perniagaan, pengusaha dan pemain industri makanan baik besar mahupun kecil untuk melibatkan diri di dalam penjualan Menu Rahmah.

“Kita tidak paksa, sebaliknya ia adalah satu libat urus dengan industri antaranya Mydin (Mydin Mohamed Holdings Berhad), Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia, Pertom dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia.

“Selepas sesi libat urus ini barulah kita kemukakan idea Menu Rahmah ini dengan sasaran pembeli ialah mereka yang memerlukan juadah harian pada harga mampu,” katanya.

Katanya kementeriannya sedang dalam proses membangunkan satu aplikasi yang mengandungi direktori premis makanan yang menawarkan sajian Menu Rahmah di seluruh negara.

Inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah dilancarkan pada 31 Jan lepas oleh Salahuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button