Luar Negara

Gempa bumi: PBB peruntuk AS$25 juta bantu Syria dan Turkiye

AMERIKA SYARIKAT – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bantuan kemanusiaan AS$25 juta (RM110 juta) masing-masing kepada Turkiye dan Syria yang dilanda bencana gempa bumi.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, bantuan yang disalurkan itu akan membantu menyelamatkan nyawa mangsa kedua-dua negara yang terbabit.

“Pasukan penilaian dan penyelarasan bencana PBB berada di Adana hari ini dan bergerak ke Gaziantep esok untuk menyokong pasukan mencari dan menyelamat bandar Turkiye.

“Ia turut membabitkan mangsa yang terperangkap dalam bencana itu, termasuk beribu-ribu pelarian dari Syria,” katanya.

Dujarric berkata, pelarian Syria membentuk lebih 1.7 juta daripada 15 juta penduduk yang tinggal di 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye.

“Kami akan melakukan apa sahaja yang kerajaan Turki mahu kami lakukan dan cuba membantu sebaik mungkin,” katanya di ibu pejabat pertubuhan dunia itu.

Tambahnya, jalan ke barat laut Syria dari Turkiye juga rosak dan ia mengganggu bantuan kemanusiaan untuk sementara waktu ke kawasan yang dikuasai pemberontak yang dilanda gempa.

Terdahulu, angka kematian di Turkiye akibat gempa bumi besar yang berpusat di Kahramanmaras pada Isnin lalu meningkat kepada 5,434, menurut agensi bencana kebangsaan, dengan lebih 31,000 cedera.

Wilayah lain yang terjejas akibat gegaran itu ialah Gaziantep, Hatay, Osmaniye, Adıyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.

Show More

Related Articles

Back to top button