Risda rangka 5 projek bantu tingkat ekonomi pekebun getah
KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menggariskan lima rancangan pembangunan utama bagi meningkatkan daya pengeluaran pekebun kecil getah di bawah seliaannya.
Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, rancangan tersebut merupakan projek teras yang melibatkan peruntukan bernilai RM306.29 juta bagi tempoh enam bulan pertama operasi Risda tahun ini.
Katanya, rancangan tersebut termasuklah Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil, Peningkatan Produktiviti dan Pembangunan Pekebun Kecil, Pembangunan Semula Hasil Baharu, Rawatan dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun serta Bantuan Musim Tengkujuh.
“Menerusi Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil, Risda menetapkan sasaran seluas 10,000 hektar kebun berjaya ditanam semula dengan menyediakan bantuan secara lima kali ansuran sebanyak RM 13,710 bagi kawasan Semenanjung, RM14,805 bagi wilayah Sarawak dan RM14,955 sehektar bagi wilayah Sabah.
“Bagi tujuan Peningkatan Produktiviti dan Pembangunan Pekebun Kecil, Risda menyediakan Bantuan Angkutan Input Pertanian ke Kawasan Pendalaman, Prasarana Asas Pertanian, Program Pengembangan dan Skim Getah Matang melibatkan nilai bantuan berjumlah RM43.13 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada pada itu, tambah Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, usaha bagi memastikan ekonomi pekebun kecil juga akan dipertingkatkan dari masa ke masa.
“Risda menyediakan bantuan berjumlah RM35 juta manakala Pencegahan Penyakit Luruhan Daun serta Bantuan Musim Tengkujuh masing-masing diperuntukkan sejumlah RM10 juta dan RM95.5 juta untuk manfaat lebih 500,000 orang pekebun kecil.
“Rancangan Tanam Semula merupakan program utama yang terpenting dalam usaha-usaha pembangunan Risda melestarikan kemajuan dan kemakmuran pekebun kecil,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Risda telah membangunkan seluas 1,019 juta hektar penanaman getah dimana purata keluasan pemilikan pekebun hanya seluas 1.9 hektar sahaja.
Risda juga mensasarkan pendapatan pekebun kecil dipertingkatkan kepada RM4,500 sebulan sekeluarga pada tahun 2025 melalui pelbagai program yang dilaksanakan.