Berita Semasa

Menu Rahmah: Peniaga tampil unik, tawar makanan guna nama PM, menteri

CYBERJAYA – Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) minggu lalu terus mendapat sambutan yang baik dalam kalangan peniaga.

Bahkan, ada dalam kalangan peniaga yang menawarkan Menu Rahmah dengan menggunakan nama menteri dan Perdana Menteri bagi menarik lebih ramai pembeli.

Pengurus Warung Pecel Lele di Medan Selera TS Sport Arena, di sini, Wirdayati Mohamamad Tahir, berkata, dia menyambut baik inisiatif kerajaan dengan menyediakan Menu Rahmah di gerainya.

Katanya, idea untuk menggunakan nama menteri dan Perdana Menteri bagi makanan yang dijual adalah untuk menambah keunikkan dalam Menu Rahmah yang ditawarkan.

“Minggu lepas selepas KPDN umumkan Menu Rahmah kami berbincang untuk jual Menu Rahmah di sini. Sebab itu datang idea untuk guna nama menteri dan Perdana Menteri bagi kelainan sedikit.

“Setiap hari kita akan bertukar-tukar menu macam hari ini kita ada Mat Sabu yang merangkumi nasi putih, sayur campur dan ayam masak merah,”katanya ketika ditemui Malaysia Tribune di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, sambutan orang ramai yang kebanyakkannya terdiri pelajar universiti dan kakitangan swasta juga menggalakkan sejak menu tersebut itu diperkenalkan.

Ditanya mengenai kadar keuntungan yang diperoleh menerusi Menu Rahmah dengan harga barang yang semakin meningkat, Wirdayati berkata, dia hanya sedikit keuntungan, namun niatnya adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Untung itu ada sikit tapi kita berniaga kita mahu bantu sekali golongan-golongan yang tidak berkemampuan B40 sebab dekat Cyberjaya ini ada golongan tersebut macam pelajar,” katanya lagi.

Sementara itu, Wirdayati juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke gerai miliknya di sini bagi merasai sendiri Menu Rahmah di gerainya.

“Harapan saya, saya nak sangat Anwar Ibrahim datang ke sini melihat sendiri apa yang kami buat dalam membantu penduduk-penduduk Cyberjaya dan Putrajaya dalam menjayakan Menu Rahmah ini,” katanya.

Antara nama menu yang menjadi tarikan  adalah Set Nasi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohamad Sabu, Anthony Loke, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Rafizi Ramli, Datuk Seri Azalina Othman Said dan nama menu tersebut akan ditukar setiap 30 hari dengan nama yang berlainan.

Terdahulu, kira-kira 15,000 pengusaha restoran seluruh negara menawarkan Menu Rahmah serendah RM5 bagi mengatasi masalah kos sara dalam kalangan golongan B40 menerusi inisiatif yang dianjurkan KPDN.

Show More

Related Articles

Back to top button