Berita Semasa

10 syarikat pertama dipilih jalin kerjasama perkasakan TVET

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 syarikat swasta dipilih sebagai pemain industri pertama yang akan menjalinkan kerjasama pintar dengan kerajaan bagi memperkasakan semula program pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemain industri yang dipilih untuk menandatangani Quickwin TVET itu antaranya adalah Petronas, DRB-Hicom dan lapan lagi syarikat dalam industri hospitaliti dan pelancongan.

“Kerajaan akan mewujudkan sekretariat khas untuk menyelaraskan pelaksanaan TVET  dengan menjalinkan kerjasama pintar dengan pusat-pusat TVET yang bersesuaian dengan pemain industri.

“Sebagai Pengerusi Penyelaras TVET, saya akan pastikan pihak swasta yang terlibat dalam TVET dapat menyediakan kemahiran yang diperlukan dalam industri,” katanya selepas mesyuarat TVET di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, usaha itu adalah untuk memastikan wang yang dibelanjakan kerajaan sebanyak RM6.7 bilion setiap tahun untuk TVET  tidak menjadi pelaburan yang membazir.

Beliau berkata, walaupun kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk program TVET di 1,265 pusat TVET di seluruh negara, kajian mendapati berlaku banyak pertindihan kursus dan gagal mencapai tahap keboleh pasaran yang memuaskan.

“Sebab itu mesyuarat hari ini ambil keputusan supaya ada way forward untuk mengelakkan pertindihan dan mengurangkan kos, juga kita mahu mengurangkan pengambilan pekerja asing.

“Saya akan membentangkan dapatan mesyuarat tadi dalam kabinet dalam masa terdekat,” katanya.

Namun begitu katanya, ada juga pusat-pusat yang menawarkan kursus TVET mencapai tahap keboleh pasaran sehingga 97 peratus.

Justeru, beliau turut mempertimmbangkan untuk menukar kursus-kursus yang ditawarkan pusat TVET yang gagal melepasi capaian 60 peratus kebolehpasaran.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan menaik taraf fungsi beberapa buah pusat TVET sebagai pusat latihan keusahawanan dan bukan sekadar pusat latihan.

Show More

Related Articles

Back to top button