Berita Semasa

Tiada rakyat Malaysia terlibat kejadian gempa bumi di selatan Turkiye

CYBERJAYA – Tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda wilayah Kahramanmaras, Turkiye awal Isnin setakat ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Setakat ini, misi kami belum menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi itu,” kata kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui talian +90 312 446 3547/48 atau +90 534 457 1006 (selepas waktu pejabat atau e-mel mwankara@kln.gov.my.

Sementara itu, Konsulat Jeneral di Istanbul boleh dihubungi melalui talian +90212 989 1001/ 09 atau +90551 711 2174 (selepas waktu pejabat) atau e-mel mwistanbul@kln.gov.my.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh manakala 440 lagi cedera selepas satu gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 7 kilometer, diikuti dengan dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep, masing-masing berukuran 6.4 dan 6.5 pada skala Richter.

Negara jiran Syria turut terjejas dengan 237 orang dilaporkan maut manakala sekurang-kurangnya 639 cedera akibat gegaran kuat melanda wilayah Idlib, Aleppo, Hama, Latakia, dan Raqqa.

Show More

Related Articles

Back to top button