Berita Semasa

Permohonan kemasukan ke IPTA dibuka 7 Februari ini, bayaran UPUOnline diberikan percuma

PUTRAJAYA – Permohonan kemasukan pelajar sesi akademik 2023/2024 ke program Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda akan dibuka bermula dari 7 Februari hingga 28 Mac ini bagi permohonan Fasa Pertama dan pada 15 Mei hingga 12 Jun ini bagi permohonan Fasa Kedua.

Menurut Jabatan Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan, permohonan itu melibatkan kemasukan di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan 4 Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA) melalui UPUOnline.

“Permohonan terbuka untuk pelajar Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/Setaraf untuk semua program pengajian bagi permohonan Fasa Pertama, manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan/atau ujian dibuka bagi permohonan Fasa Kedua,” katanya.

Menurutnya lagi, selaras dengan hasrat kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, kos sebanyak RM15 sebagai Bayaran Proses UPUOnline bagi mendapatkan Unik ID akan ditanggung sepenuhnya Kementerian Pendidikan Tinggi.

Katanya, dijangkakan bahawa lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini yang akan membawa kepada implikasi kewangan sebanyak RM5.25 juta kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sehubungan itu, katanya, semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

“Terdapat sebanyak 471 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,088 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara.

“Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline tersebut boleh diajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di alamat BAHAGIAN KEMASUKAN PELAJAR IPTA JABATAN PENDIDIKAN TINGGI, ARAS 4, MENARA 2, JALAN P5/6, PRESINT 5 62000 PUTRAJAYA,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button