Politik

Agihkan peruntukan pembangunan secara sama rata – Takiyuddin

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengagihkan peruntukan pembangunan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen merentasi parti politik.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu meneruskan amalan terdahulu yang menyalurkan jumlah peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

“Peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO),” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, PN memandang serius kenyataan Anwar berhubung pengurangan 65 peratus peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen bagi tahun ini.

“Meskipun kerajaan persekutuan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras kedudukan dan kekangan ekonomi negara, peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan,” kata Takiyuddin lagi.

Beliau turut mengingatkan Anwar terhadap janji Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 untuk menyediakan dana pembangunan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Pemimpin PAS itu juga berharap Anwar mengelakkan “politik balas dendam” terhadap pembangkang.

Semalam, Anwar mengesahkan peruntukan pembangunan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta, tetapi kerajaan akan mempertimbangkan penambahan dana jika terdapat keperluan mendesak di kawasan tertentu.

Show More

Related Articles

Back to top button