Berita Semasa

Orang ramai puji langkah kerajaan perkenal Menu Rahmah, bantu berjimat

PUTRAJAYA – Pengenalan juadah Menu Rahmah menerima sambutan baik orang ramai yang turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

Tinjauan Malaysia Tribune di sini hari ini mendapati, rata-rata orang ramai memuji langkah kerajaan memperkenalkan menu makanan berharga RM5 tersebut.

Menurut Muszakir Mohd. Noor (gambar), Menu Rahmah secara langsung membantunya menyusun kembali aliran kewangan bulanannya.

“Apabila belanja makanan tengah hari sudah dapat dikurangkan, ini secara langsung dapat buatkan saya alihkan belanja tersebut ke tempat lain, sebagai contoh ke belanja rumah ataupun simpanan.

“Amat membantu saya dan isteri terutamanya dalam membina keluarga baharu kami,” kata Muszakir yang bekerja di Putrajaya.

Sementara itu, pekerja swasta, Mogana Dass,55, berkata, Menu Rahmah amat membantu beliau yang perlu mengeluarkan belanja juadah makanan tengah hari setiap hari.

“Walaupun hanya berharga RM5, juadah Menu Rahmah cukup memuaskan hati saya kerana ia bukan sahaja pada harga makanan tetapi disertakan sekali dengan air minuman.

“Biasanya saya akan berbelanja antara RM7 ke RM10 untuk makan tengah hari, dan itupun belum campur minuman lagi.

“Jadi, pada saya, Menu Rahmah sangat membantu saya menjimatkan perbelanjaan harian saya,” kata Mogana.

Menu Rahmah merupakan juadah makanan bermasak seimbang merangkumi nasi, pilihan protein antara lauk ayam atau ikan, sayuran dan segelas minuman.

Untuk rekod, inisiatif kerajaan ini dilaksanakan dengan kerjasama wakil-wakil persatuan restoran seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

Turut sama menjayakan inisiatif ini, Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors General Association (MCSPGA), Bumiputra Retailers Organization (BRO), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), dan Malaysia Retailers Association (MRA).

Show More

Related Articles

Back to top button