Politik

Tun Faisal dipecat UMNO melalui mesej WhatsApp

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta melalui makluman yang diterima melalui aplikasi WhatsApp.

Bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa itu memaklumkan telah dihubungi oleh ibu pejabat UMNO pada pukul 4.28 petang semalam dan menerima surat pemecatan melalui aplikasi itu.

Surat pemecatan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bertarikh 27 Januari lalu turut dikongsikan dalam Facebook rasmi beliau.

Berdasarkan surat itu, dimaklumkan bahawa pemecatan Tun Faisal dibuat berkuat kuasa serta-merta selepas ia diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 5 Januari dan Jumaat lalu.

Tindakan itu dibuat berikutan Tun Faisal dikesan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

Bagaimanapun, Tun Faisal bertegas tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan pemecatannya itu kerana keputusan tersebut sudah boleh dijangka, lebih-lebih lagi apabila terbukti MKT dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka untuk menerima kritikan.

“Ketika saya bercakap perkara yang benar dulu pun berkenaan pengkhianatan Zahid terhadap dasar parti, saya tetap dihukum kononnya kerana memfitnah.

“Jasa UMNO sebagai parti teras dalam Perikatan dan Barisan Nasional juga begitu banyak dalam memajukan rakyat dan negara Malaysia ini.

“Saya bersyukur sebagai salah seorang penerima manfaat dan diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat dan negara melaluinya di Kementerian Pelajaran, Kementerian Dalam Negeri, JASA, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Penentangan saya adalah terhadap individu dan bukan terhadap UMNO. Bagi saya UMNO dan BN itu tiada masalah dan jelas prinsip perjuangannya. Yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Zahid yang telah menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik dia mengkhianati dasar parti dan keputusan PAU2019 apabila dia menandatangani SD dan surat menyokong Anwar menjadi PM,” katanya hari ini.

Malah ujarnya, tindakan itu menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button