Politik

Bersatu kecewa SPRM digunakan sebagai ‘alat politik’ – Hamzah

CYBERJAYA – Parti Bersatu kecewa dengan tindakan kerajaan kerana menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas akaun parti itu dibekukan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, tindakan itu dilaksanakan dengan tujuan membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Tambahnya, Bersatu juga telah mengarahkan pemimpin dan pegawai parti itu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM untuk memberi kerjasama sepenuhnya.

“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini supaya fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera,” kata Hamzah dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata demikian bagi mengulas siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana RM92.5 bilion oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hamzah juga mendakwa, langkah membekukan akaun parti itu bertujuan memesongkan perhatian rakyat terhadap “kelemahan, kegagalan dan amalan nepotisme” kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menegaskan bahawa Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik, dan meminta semua pemimpin dan ahli parti bertenang.

Awal hari ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata, akaun Bersatu telah dibekukan agensi tersebut lebih dua minggu lalu.

Azam ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan SPRM masih berterusan dan saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Terdahulu, sumber dalaman Bersatu dilaporkan sebagai berkata, SPRM telah membekukan akaun-akaun Bersatu.

Menurut sumber itu, akaun-akaun terbabit dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Difahamkan, pembekuan akaun-akaun tersebut dilakukan berkaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit berkaitan pakej rangsangan Covid-19.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button