Politik

Tindakan UMNO boleh jejas sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan – DAP

KUALA LUMPUR – Tindakan UMNO yang memecat dan menggantung beberapa ahlinya dikhuatiri akan menjejaskan sokongan rakkyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, beliau berasa bimbang dengan perkara tersebut lebih-lebih lagi dengan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, ia diburukkan lagi dengan prestasi UMNO yang sudah lemah untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepemimpinan UMNO supaya segera memperkukuhkan kedudukannya, selain menjalankan pelan mitigasi bagi memastikan kesan tindakan terbaharu parti itu dapat diminimumkan.

“UMNO sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpinnya. Apabila sesuatu berlaku dalam parti dan tindakan perlu diambil, ini saya rasa tidak berbeza dengan parti lain.

“Saya lihat UMNO sudah lama berpecah, sejak 1998. Isu pemecatan dalam UMNO ini juga sudah lama berlaku, sehingga tertubuhnya PKR dan Bersatu, yang kini kebanyakan pemimpinnya adalah serpihan UMNO.

“Ia terpulang kepada UMNO dan saya tidak mahu campur urusan kepemimpinan mereka. Namun, persoalannya, adakah ia (tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin UMNO) wajar dibuat sekarang?” katanya memetik laporan Berita Harian.

Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UMNO juga menggantung empat ahlinya selama enam tahun.

Mereka terdiri Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammudin Hussien; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button