Berita Semasa

Rafizi mahu jumpa pengusaha restoren, peniaga makanan

CYBERJAYA – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli akan mengadakan pertemuan dengan wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan bagi membincangkan isu yang timbul susulan kenyataan beliau berkaitan harga makanan.

Rafizi dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau sedia maklum beberapa cabaran pengusaha yang berdepan dengan kenaikan kos lain, seperti kos pekerja akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

“Ada beberapa langkah yang sedang diperhalusi pelaksanaannya untuk membantu peniaga dan pengusaha restoran menangani kenaikan-kenaikan yang mereka tanggung, termasuklah potensi menyebarluas model tenaga kerja sambilan (gig workforce) dalam sektor restoran dan kedai makan,” katanya.

Rafizi menambah langkah itu sebahagian usaha menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi.

Sebelum ini, beberapa pengusaha dilaporkan tidak berpuas hati dengan kenyataan Rafizi yang tidak menggambarkan situasi peniaga secara menyeluruh, yang berdepan kenaikan kos lain seperti pekerja, sewa, dan barangan import.

Terdahulu, Rafizi menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran yang menawarkan harga makanan tinggi meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan.

Beberapa ahli ekonomi turut berkata, pandangan Rafizi bahawa restoran harus menurunkan harga sejajar kejatuhan kos bahan mentah adalah “tidak tepat”.

Show More

Related Articles

Back to top button