Berita Semasa

Menteri agama lawat adik Muhammad Ziyad

PUTRAJAYA – Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar semalam meluangkan masa melawat adik Muhammad Ziyad Aryan Fairus, 6, yang diserang epilapsi kronik di Hospital Putrajaya.

Ketibaan Dr. Mohd Na’im bersama warga Kementerian disambut bapa Muhammad Ziyad Aryan, Fairus Mohd Tabiee, seorang pempengaruh media sosial yang kerap berkongsikan tip perniagaan.

Fairus berkata, kesempatan Dr. Mohd Naim melawat dan mendoakan kesihatan anaknya supaya kembali pulih amat menyentuh hati beliau yang menjaga anaknya sejak minggu lalu.

Beliau berkata, Muhammad Ziyad yang mengidap Atriovenous Malformation (AVM) sejak dari kecil mengalami serangan epilapsi paling teruk kali ini menyebabkan dia terlantar dalam keadaan separa sedar selama lebih 30 jam pada hari pertama.

“Ziyad mengalami masalah saluran saraf otak berkumpul dan tergumpal. Keadaan ini menyebabkan dia sering diserang sawan.

“Doktor telah melakukan CT scan dan memaklumkan bahawa keadaan Ziyad tidak berapa baik kerana ada banyak tompokan putih pada otak.

“Doktor juga memaklumkan keadaan Ziyad sangat merisaukan dan meminta saya dan isteri bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Fairus yang dikenali dengan nama ‘fairusabghomestay’ di TikTok kerap berkongsikan tip perniagaan khususnya berkaitan dengan pengurusan inap desa.

Jenama ‘Ziyad Stellar Homestay’ yang diasaskan beliau sejak beberapa tahun lalu merupakan dedikasi khas beliau untuk anak istimewanya, Muhammad Ziyad.

Show More

Related Articles

Back to top button