Berita Semasa

Kerajaan akan selaraskan elaun JPKK, JPKKP

PUTRAJAYA – Elaun bulanan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) antara negeri-negeri akan diselaraskan sesuai dengan peredaran masa dan beban tugas mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada ketika ini, elaun bagi jawatan itu berbeza mengikut negeri dengan Selangor menerima elaun tertinggi sebanyak RM1,500 diikuti Johor RM1,200.

“Kami memang mahu menaikkan elaun mereka, tetapi kena juga memahami situasi dan kedudukan ekonomi negara.

“Bagaimanapun, ia (kenaikan elaun) akan diberi pertimbangan sewajarnya termasuk berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Exco Luar Bandar Negeri, di sini hari ini.

Jelasnya, setakat ini jumlah keseluruhan JPKK dan JPKKP di seluruh negara adalah seramai 15,434 orang.

Sementara itu, mesyuarat yang masuk edisi ke-55 itu banyak memberi tumpuan bagi memperkasa agenda pembangunan luar bandar termasuk melaksanakan projek pembangunan infra luar bandar.

Tambah Ahmad Zahid, mesyuarat sama turut membincangkan usaha untuk memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan institusi pendidikan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Kami di KKDW juga berhasrat untuk mengadakan mesyuarat berjadual bersama exco-exco luar bandar sebanyak tiga kali setahun,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button