Berita Semasa

Tujuh anggota tentera karam berjaya diselamatkan

SANDAKAN – Tujuh anggota tentera dari Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 yang hanyut hampir empat jam di perairan Pulau Nunuyan dekat sini selepas bot dinaiki mereka karam berjaya diselamatkan dalam kejadian petang semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, semua anggota terbabit berjaya diselamatkan pada jam 2.50 petang oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan berkenaan.

Beliau berkata, bot ronda jenis viper 7 yang dinaiki tujuh anggota tentera berkenaan karam pada pukul 10 pagi selepas bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke jeti Markas ATB 2 Batu Sapi.

“Pergerakan itu adalah bertujuan untuk mengisi minyak dan logistik serta kebajikan anggota.

“Bagaimanapun, pada jam 11 pagi ketika tiba berhampiran perairan Pulau Nunuyan, bot dipukul ombak besar dan menyebabkan ia karam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Idris, kejadian itu menyebabkan kesemua anggota tentera berkenaan hanyut.

“Pada jam 2.50 petang, kesemua mangsa yang karam berjaya diselamatkan oleh sebuah bot ronda PGA Batalion 15 dan bot PSC 66.

“Kesemua mereka yang berjaya diselamatkan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan dan proses dokumentasi,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button