Berita Semasa

Projek perumahan tentera dijangka siap hujung tahun 2024 – MINDEF

KUALA LUMPUR – Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) atau Residensi Sateria untuk warga kerja Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun hadapan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berdasarkan perkembangan terbaru projek berkenaan, beliau yakin projek SASaR dapat diselesaikan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Saya melihat sendiri perkembangan yang ada berkenaan projek SASaR ini dan projek ini adalah sebahagian daripada kertas putih MINDEF.

“Projek ini adalah inisiatif untuk memastikan kesejahteraan anggota tentera dan anggota awam pertahanan diberikan perhatian oleh kementerian.

“Projek ini sudah siap 21 peratus. Jangkaan 27 peratus tetapi lewat enam peratus disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah tiada pekerja dan bahan binaan.

“Tetapi sekarang sudah pulih dan mereka masih lagi memerlukan 300 hingga 400 orang pekerja untuk memastikan sasaran tarikh untuk serahkan kepada kementerian pada hujung tahun 2024 dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melakukan tinjauan di tapak projek berkenaan di Platinum South Valley, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, walaupun projek berkenaan tergendala disebabkan pandemik Covid-19, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meluluskan tambahan masa berkerja di tapak pembinaan projek itu.

“Alhamdulillah saya tengok walaupun tergendala enam peratus sebab projek bermula pada Mac 2021 sewaktu Covid-19 jadi memang masalah pekerja dan bahan binaan memang tergendala.

“Tetapi sekarang kita melihat mereka telah bekerja sepenuhnya dan mendapat kebenaran daripada pihak DBKL. Mereka mendapat masa tambahan sebanyak tiga jam sehari iaitu berkerja sehingga jam 8 malam,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button