Luar Negara

Media AS mula buang pekerja

NEW YORK – Syarikat media di Amerika Syarikat (AS) kini berdepan saat sukar akibat penurunan pendapatan pengiklanan dan terpaksa mengambil langkah memberhentikan pekerja bagi mengimbangi kewangan syarikat.

Laporan AFP menyebut, Vox Media, pemilik laman web Vox dan The Verge serta New York Magazine dan platform dalam talian, mengumumkan Jumaat lalu bahawa ia melepaskan tujuh peratus kakitangannya.

Berita itu menyusuli pemberhentian kakitangan CNN, NBC, MSNBC, Buzzfeed dan cawangan lain.

Menerusi memo kepada kakitangannya, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Media, Jim Bankoff mengumumkan keputusan sukar untuk mengurangkan kira-kira tujuh peratus kakitangan di seluruh jabatan disebabkan ekonomi mencabar yang memberi kesan kepada perniagaan dan industri.

Menurut Vox Media keputusan itu menyaksikan kira-kira 130 daripada 1,900 kakitangan kumpulan itu diberhentikan.

Jurucakap Vox berkata, mereka tidak dapat mengulas mengenai kes tertentu, tetapi pekerja ditawarkan “pakej pemecatan yang kompetitif,” termasuk bayaran pemberhentian tambahan.

Akhbar Ahad, The Washington Post Magazine yang memenangi dua hadiah Pulitzer, juga ditutup pada Disember sebagai sebahagian daripada apa yang diterangkan oleh editor eksekutif, Sally Buzbee sebagai “transformasi global dan digital”.

Naib Ketua Pegawai Eksekutif Medianya, Nancy Dubuc mengumumkan kepada kakitangan bahawa syarikat itu akan dijual.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, difahamkan CNN sudah memberhentikan beberapa ratus pekerja daripada sejumlah 4,000 orang.

Show More

Related Articles

Back to top button