Berita SemasaPM X

PM umum peruntukan tambahan RM1 bilion bagi pembangunan sempadan negara di Sabah, Sarawak

KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan dan meningkatkan keselamatan di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia.

Anwar berkata, pembangunan yang akan dilaksanakan itu melibatkan tambahan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), pos kawalan polis dan tentera, serta prasarana jalan raya dalam usaha meningkatkan capaian antara dua negara susulan pembukaan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan.

“Kita putuskan peruntukan tambahan CIQ, keselamatan sempadan dan meningkatkan keupayaan kedua-duanya.

“Kita tidak mahu dilihat terlalu daif. Kementerian Kewangan telah memberi kelulusan awal sebanyak RM1 bilion untuk memulakan kerja dalam tempoh segera,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd. Ali.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan pelantikan setiausaha kewangan Sarawak ke lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berkuatkuasa hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Undang-undang, MA63, dan Hubungan Negeri-Persekutuan Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dilaporkan sebagai berkata, pelantikan itu bagi memastikan kerajaan negeri tahu kedudukan kewangan negara, antara lain untuk membantu rundingan mengenai pemberian khas bawah Perkara 112D.

Show More

Related Articles

Back to top button