Berita Semasa

Pemandu lori, kelindan rentung terperangkap dalam treler terbakar

SEREMBAN – Dua mangsa ditemukan rentung  selepas terperangkap di dalam treler yang terbakar di Kilometer 259.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Port Dickson, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, kebakaran membabitkan treler yang membawa muatan barang lusuh plastik.

“Kebakaran menyebabkan bahagian kepala lori musnah 100 peratus, dan dua mangsa ditemukan rentung iaitu pemandu dan kelindan.

“Pihak bomba menjalankan kerja pemadaman serta mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai pemandu dan kelindan lori berkenaan namun setakat ini jantina dan pengenalan diri mangsa belum dapat dikenal pasti.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja`afar Seremban (HTJ),” katanya.

Terdahulu tular video kemalangan tersebut di media sosial yang menyebut terdapat mangsa yang masih terperangkap dalam kenderaan berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button