Jenayah & Mahkamah

Dua rakan karib maut motosikal bertembung kereta

BALIK PULAU – Dua pelajar perempuan berusia 17 tahun maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dengan kereta di Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan bertembung dengan kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.10 malam.

Katanya, kereta yang dipandu lelaki berkenaan dikatakan bertembung dengan motosikal jenis Honda Wave dinaiki mangsa yang datang dari arah bertentangan selepas memotong sebuah kereta lain.

“Akibat kemalangan terbabit, lelaki yang berasal dari Gelugor itu mengalami cedera di pipi.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pembonceng pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Kamarul Rizal berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta dan penunggang motosikal didapati mempunyai lesen yang sah.

“Lelaki yang bekerja sebagai mekanik berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Georgetown ke Kuala Sungai Pinang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ” katanya.

Difahamkan, mangsa, Nur Fatimah Salamah Ullah dan Nur Humaira Mohd Zaini adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh.

Jenazah Nur Fatimah sudah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Ehsan selepas solat Jumaat manakala jenazah Nur Humaira dijangka dikebumi selepas Asar.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button