
Suhakam cadang jurulatih, sukan ikuti kursus hak asasi manusia dan kanak-kanak
CYBERJAYA – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan supaya semua jurulatih dan guru sukan diwajibkan mengikuti kursus hak asasi manusia dan hak kanak-kanak sebelum mendapatkan lesen pengajar.
Pengerusinya, Rahmat Mohamad berkata, cadangan itu bagi memastikan insiden seperti jurulatih bola tampar yang menampar dua pemainnya sebelum ini tidak berulang.
“Selaku penandatangan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC) adalah menjadi tanggungjawab negara memastikan hak kanak-kanak untuk melibatkan diri secara bebas dalam aktiviti permainan dan rekreasi diiktiraf dan dihormati,” kata Rahmat dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan lesen jurulatih terbabit adalah isyarat tegas kepada semua jurulatih dan guru sukan untuk tidak mengasari anak murid mereka.
Tindakan itu memberi jaminan kanak-kanak dan remaja tidak akan dikasari dan dijatuhkan maruah oleh mana-mana pihak apabila menyertai aktiviti sukan, kesenian atau kebudayaan.
“Sekiranya insiden sebegini tidak ditangani sewajarnya, dikhuatiri emosi kanak-kanak akan terganggu dan mereka mungkin berasa takut untuk bermain serta menyertai aktiviti sukan,” katanya.
Pada 12 Jan lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jurulatih yang terlibat dalam insiden itu tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan terutama untuk murid sekolah.
Hannah memaklumkan, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Tampar Malaysia sebulat suara memutuskan jurulatih itu sepatutnya hilang kelayakan menjadi jurulatih, selepas siasatan dimuktamadkan.
Sementara itu, Rahmat berkata Suhakam turut menyarankan ibu bapa atau penjaga melaporkan kes kekasaran atau insiden menjatuhkan maruah anak mereka kepada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KBS atau KPM.
Katanya, ini sebagai usaha kolektif untuk menangani isu dengan lebih proaktif.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune