KPWKM tegaskan tidak akan berlaku pertindihan kuasa dengan suruhanjaya kanak-kanak
PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan tidak akan berlaku sebarang pertindihan kuasa dengan suruhanjaya kanak-kanak yang baru diumumkan Perdana Menteri hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan suruhanjaya itu bukan sahaja akan membantu kementerianya malah kementerian-kementerian lain yang berurusan dengan kanak-kanak.
“Itu (suruhanjaya kanak-kanak) bukan dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Walaupun kementerian kita yang bertanggungjawab dalam memberi saranan kepada jawatankuasa itu, tetapi ia bukan dibawah kita. Mereka bebas dalam memantau isu berkaitan kanak-kanak.
“Tidak akan berlaku pertindihan. Kami akan menjalankan tugas kami seperti biasa, ia bukan sahaja dapat membantu kita malah kementerian lain yang terlibat dalam urusan kanak-kanak. Boleh juga membantu dari sudut semak dan imbang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sesi Town Hall Perkhidmatan Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di kementerianya di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan mesyuarat Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya kanak-kanak menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Katanya, suruhanjaya tersebut bakal berfungsi untuk membendung isu berkaitan pengabaian dan penderaaan dalam kalangan kanak-kanak, wanita dan masyarakat.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, perbincangan untuk memberikan kadar tambang secara percuma bagi pengangkutan awam kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) sedang dijalankan namun perlu dilihat dari sudut mekanismenya terlebih dahulu.
“Saya sarankan bagi percuma kepada OKU untuk menaiki LRT, MRT dan bas. Jadi dia kata boleh, tapi perlu tengok dari sudut mekanisme mungkin dari segi memberi kad tapi secara prinsip dia bersetuju dan perkara ini akan saya ikuti,” ujarnya lagi.