Berita Semasa

Jambatan uzur di Pos Brooke akan dibaik pulih segera – Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan supaya sebuah jambatan yang telah uzur di Kampung Orang Asli Brooke Lama, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan dibaiki dan ditambahbaik segera bagi keselamatan penduduk sekitar.

Ahmad Zahid berkata, meskipun kerajaan telah membina sebuah jambatan baharu bagi memudahkan penduduk di kawasan tersebut di lokasi berhampiran, jambatan sedia ada itu tetap akan dibaiki bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Saya amat prihatin setelah membaca sebuah artikel berkenaan keadaan jambatan uzur yang berdepan risiko keselamatan termasuk kehilangan nyawa di Gua Musang, Kelantan.

“Seperti yang dilaporkan, hampir 500 penduduk orang asli berhampiran Kampung Orang Asli Brooke Lama, Pos Brooke yang mengguna-pakai jambatan tersebut untuk pelbagai tujuan termasuklah menghantar anak ke sekolah.

“Setelah dilakukan siasatan, saya dimaklumkan jambatan tersebut bukanlah satu-satunya laluan keluar masuk yang ada di kawasan tersebut, tetapi pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah membina sebuah jalan konkrit di sebelah belakang kawasan kampung yang seterusnya bersambung dengan jalan berturap tar menuju ke Kampung Orang Asli (KOA) Liak dan Kuala Rengil. Jalan konkrit tersebut merupakan laluan utama dan boleh diakses oleh kereta, pacuan empat roda dan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah meminta pihak KESEDAR dan JAKOA Kelantan untuk mengambil tindakan segera demi keselamatan penduduk di situ.

Show More

Related Articles

Back to top button