Berita Semasa

Restu Global Islamic Arts Festival pamer artifak dunia Islam

PUTRAJAYA – Majlis Pra-Pelancaran Restu Global Islamic Arts Festival berlangsung meriah walaupun diadakan secara sederhana di Kompleks Nasyrul Quran, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan dihadiri kira-kira lebih 100 orang tetamu jemputan.

Menurut Ahmad Maslan, festival berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan peranan Yayasan Restu dan Kompleks Nasyrul Quran sebagai tempat pelancongan yang utama di Malaysia.

Katanya, festival berkenaan bakal tampil dengan pelbagai aktiviti seni Islam, gedung ilmu dan sebagai pusat percetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tempat ini adalah tempat yang bagus untuk pelancongan antarabangsa.

“Saya kira kalau kita sesiapa yang datang ke Putrajaya tetapi tidak datang ke tempat ini tidak akan lengkap.

“Putrajaya bukan hanya ada dua masjid dan bangunan-bangunan yang berseni bina tetapi ada Kompleks Nasyrul Quran yang perlu disebar luas kepada umum supaya mereka boleh mempelajari apa yang ada di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Maslan lagi, festival yang bakal berlangsung pada 20 hingga 29 Januari itu juga turut akan menyajikan artifak dunia Islam, pameran buku, produk kraf Islam dan bermacam-macam lagi.

“Ia dikelolakan oleh Yayasan Restu. Saya sudah lama berada dalam yayasan ini dan sekarang saya Timbalan Pengerusi Yayasan Restu dan mudah-mudahan apa jua kebaikan daripada tempat ini akan memberikan dakwah yang berkesan kepada pengunjung.

“Pameran seni Al-Quran dan himpunan artifak dunia Islam yang ada di sini adalah antara yang terbesar dilakukan di negara kita dan kita war warkan supaya orang boleh hadir selama 10 hari program ini,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button