Berita Semasa

Video tular lelaki laung azan dalam ritual agama bukan dari Malaysia

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sebuah video tular yang memaparkan seorang lelaki sedang melaungkan azan dalam satu ritual keagamaan, bukan berasal dari Malaysia.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, semakan mendapati video berdurasi 2 minit 27 saat itu berasal dari luar negara, namun ditularkan semula seolah-olah berlaku di Malaysia.

“Pihak MCMC menegaskan video sedemikian dilihat sebagai satu kandungan yang mengancam serta boleh mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat serta boleh digunakan individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di Malaysia.

Orang ramai turut diminta supaya tidak menokok tambah kapsyen bersifat spekulatif dan provokatif, selain diminta untuk menyalurkan atau melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.

“Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa cakna, berhati-hati dan elakkan daripada memuat naik sebarang kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi keharmonian dalam negara,” kata kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian, prejudis terhadap mana-mana kaum atau agama boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Show More

Related Articles

Back to top button