Politik

Jamal akan buat aduan rasmi, mahu keahlian UMNO KJ digantung

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan terhadap dakwaan Khairy Jamaluddin yang dikatakan telah memalukan UMNO.

Katanya, beliau akan mengemukakan aduan rasmi agar keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO itu digantung.

“Ini adalah satu kenyataan yang amat jahat dikeluarkan oleh KJ (Khairy Jamaluddin). Saya sendiri mengamati dakwaan KJ dewan  Perhimpunan Agung UMNO dipenuhi perwakilan import adalah tidak benar sama sekali.

“Saya minta Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan kepada KJ yang semberono mengeluarkan kenyataan yang berniat jahat itu.

“Selepas ini saya akan membuat aduan rasmi kepada lembaga disiplin supaya boleh mengambil tindakan dan saya berharap KJ boleh digantung daripada ahli UMNO,” katanya dalam satu sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan tanda di kerusi yang dicabut di Dewan Merdeka hari ini, Jamal mendakwa, perkara tersebut dilakukan oleh ‘konco-konco’ yang dibayar Khairy Jamaluddin sendiri.

“Kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Khairy sedangkan kami yang ada dalam dewan berkenaan saya yakin kenyataan (perkara) tersebut dilakukan oleh orang-orang KJ sendiri.

“Termasuklah yang ‘di boo’ semalam saya yakin perbuatan yang dibuat sebahagian perwakilan ini dibayar oleh puak-puak daripada KJ dan orang-orangnya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin mendakwa terdapat satu komplot dalam meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan.

Kata Khairy, beberapa tanda di kerusi Dewan Merdeka yang telah dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut bagi memberi ruang kepada perwakilan import.

Show More

Related Articles

Back to top button