PAU2022: Usul anti lompat parti diluluskan
KUALA LUMPUR – Mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menyertai pakatan lain selain dari disertai UMNO akan tergugur keahliannya secara automatik.
Usul dibawah Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO yang dibentangkan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin itu diluluskan sebulat suara para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO Khas 2022 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Usul pindaan lain yang diluluskan PAU Khas juga, berkaitan fasal 8.4 perlembagaan, iaitu penyertaan secara automatik Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap UMNK sebagai perwakilan tetap PAU.
Khaled menjelaskan, ia dilaksana selepas diputuskan parti serta bagi membolehkan perlembagaan Umno bersifat terkini.
“Pindaan ini dilakukan kerana kita mahu laksanakan apa yang sudah diputuskan parti dan kita mahu memastikan peruntukan dalam perlembagaan parti bersifat terkini dan selari dengan peruntukan undang-undang semasa negara,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.
Kandungan pindaan baru perlembagaan iaitu fasal 20.11.1 itu antara lain menyebut – Ahli UMNO itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau DUN bebas.
Sementara itu, kandungan sedia ada di bawah fasal 20.11 sebelum ini masih dikekalkan dan kini diletakkan dibawah fasal 20.11.2 iaitu ahli UMNO itu hilang keanggotaan secara automatik jika bertanding di mana-mana pilihan raya sebagai calon bebas atau calon pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.
Kelulusan kedua-dua pindaan tersebut disahkan Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin yang menyatakan pindaan tersebut lulus dengan lebih suara bersetuju.