Politik

Digelar pengkhianat, Hishammuddin tanya di mana pengkhianatan jika akur titah Agong wujudkan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersedia berhadapan dengan tindakan selepas digelar sebagai pengkhianat kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, beliau tidak tahu mengapa dirinya bersama sembilan lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) digelar sebagai pengkhianat kerana mereka sudah pun mengikut ketetapan parti dengan menarik semula semula sokongan masing-masing.

“Hingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat. Saya cukup yakin bahawa apa yang telah berlaku, tidak ada benda yang patut kita apologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti.

“Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah tak ada benda yang saya perlu bimbang,” katanya ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang antara lain turut menyentuh mengenai gerakan sulit selepas PRU-15 termasuk membabitkan tindakan 10 Ahli Parlimen BN itu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan beliau dan sembilan Ahli Parlimen BN itu bukan pengkhianat kerana tindakan mereka selaras keputusan asal UMNO yang menolak kerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRU-15.

Katanya, semua 10 Ahli Parlimen itu akur pabila UMNO dan BN membuat keputusan baharu untuk berkecuali dalam pembentukan kerajaan, sebelum mengubah pendirian untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Tak ada apa yang saya perlu bimbang kerana kita konsisten sebelum ini. Peringkat awal, usaha nak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) bercanggah dengan pendirian parti sendiri, jadi kita buat SD (akuan bersumpah) berkenaan.

“Tapi bila parti dah membuat keputusan kita berkecuali pada satu ketika, kita tarik balik SD berkenaan.

“Lepas itu bila Yang di-Pertuan Agong bertitah dan kita bersetuju mewujudkan Kerajaan Perpaduan, itu adalah kehendak parti, maka kita bersetuju. Jadi di mana pengkhianatannya,” katanya.

Beliau juga menggesa semua pihak berhenti memainkan polemik dan mendakwa 10 Ahli Parlimen itu mengkhianati parti kerana pihak luar didakwa bosan dan muak dengan pertelagahan berkenaan.

“Saya harap apa yang dapat kita bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan bagaimana kita mengurangkan jurang serta defisit kepercayaan dalam kalangan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.

“Itu lebih baik daripada hanya menggunakan platform ini untuk bercakaran, berbalah sesama kita, tuduh-menuduh, serang-menyerang sesama kita. Sudahlah, cukup-cukuplah,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pemilihan UMNO akan datang, beliau secara berselindung bersedia untuk bertanding jawatan penting dalam UMNO.

Bagaimanapun katanya, pengumuman lanjut jawatan yang akan ditandinginya hanya diumumkan jika jawatan tersebut dipertandingkan.

Show More

Related Articles

Back to top button