FMM sambut baik pengumuman kerajaan berkenaan pekerja asing
CYBERJAYA – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik perhatian diberikan kerajaan terhadap keperluan buruh yang dibangkitkan oleh industri walaupun pelan itu adalah langkah sementara bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf kepentingan dan peranan pekerja asing sebagai pelengkap dalam menyokong pemulihan ekonomi terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan yang berpanjangan ini, tahun 2023 dijangka sebagai tahun yang sukar kerana pertumbuhan global dijangka perlahan, inflasi global kekal tinggi dan jumlah dagangan kepada kontrak,” kata Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan semalam berkata.
Beliau berkata, program rekalibrasi dilanjutkan khusus untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (MRP) sehingga Disember 2023 adalah langkah baik kerana mereka yang layak untuk skim tersebut adalah pekerja berpengalaman dan terlatih sekali gus mengurangkan masa diperlukan untuk memberi mereka latihan atau dilatih semula oleh majikan baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata FMM ingin mencadangkan supaya pelaksanaan IIRP 2.0 itu lebih sesuai diuruskan Jabatan Imigresen kerana ia akan menghapuskan kekeliruan dalam proses tersebut dan orang tengah yang cuba mengambil kesempatan daripada skim itu dengan menawarkan pekerja dengan bayaran.
Soh berkata keseluruhan proses itu juga harus dijalankan secara dalam talian termasuk memperkenalkan fleksibiliti pada mod pembayaran, ia akan membolehkan lebih ramai pekerja diproses melalui satu penyerahan permohonan kerana pada masa ini terdapat had pembayaran yang dikenakan untuk setiap pembayaran kad debit/kredit.
“Kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk menyemak semula caj kompaun dengan menurunkannya kepada RM900 sama seperti kadar untuk Program Penggajian dan Penempatan Semula yang dilaksanakan sebelum ini pada 2016 daripada RM1,500 yang dikenakan sekarang.
“Sementara itu prosedur dan syarat juga mesti dijelaskan kepada pihak kedutaan yang akan memudahkan pembaharuan atau pengeluaran pasport baharu bagi warganegara mereka yang mahu diambil bekerja semula secara sah,” katanya.
Beliau berkata industri menyambut baik butiran mengenai Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan IIRP 2.0, FMM berharap ia akan dikeluarkan tidak lama lagi dan sebaik-baiknya menganjurkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk pemahaman dan tafsiran yang jelas mengenai prosedur baharu tersebut.
Semalam, kerajaan telah membuat keputusan menghapuskan prasyarat sedia ada termasuk kuota dan membenarkan pengambilan dijalankan berdasarkan kemampuan dan keperluan syarikat melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.