Pelajar lelaki kritikal terjatuh bangunan sekolah
SEPANG – Seorang pelajar lelaki tingkatan 3 cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, pelajar berkenaan ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian kepala oleh guru di sekolahnya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati, tiada unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, dia melihat mangsa berada di kaki lima tingkat tiga bangunan berkenaan sebelum terjun.
“Kami juga dimaklumkan pihak sekolah bahawa pelajar itu dilaporkan pernah mengalami kemurungan ketika berada di sekolah. Pelajar itu juga dikatakan pernah beberapa kali menjalani sesi bimbingan dan kaunseling dari pihak sekolah.
“Malah, dia juga pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Serdang kerana memakan ubat panadol sebanyak 38 biji,” katanya.
Dalam pada itu katanya, salah seorang saksi yang ditemui mendedahkan pelajar itu pernah menceritakan kepadanya mengenai tindakan menelan 38 biji Panadol dan pernah mencalarkan tangan di dalam kelas dengan menggunakan pisau pemotong kertas.
Sementara itu katanya, pelajar itu kini di rawat di Zon Merah, Hospital Putrajaya dan berada dalam keadaan kritikal serta masih tidak sedarkan diri.