Berita Semasa

Zahid Hamidi beri peringatan jangan ukur prestasi berdasarkan jumlah perbelanjaan tahunan

PUTRAJAYA – Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agar tidak mengukur prestasi kementerian dan agensi dengan melihat jumlah peratusan perbelanjaan diterima dalam belanjawan tahunan semata-mata.

Katanya, prestasi perlu diukur pada keberkesanan dan manfaat yang diterima kumpulan sasar bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.

“Bagaimana kita mahu mengukur prestasi kita? Bukan sekadar melihat dari segi perbelanjaan tetapi lihat pada keberkesanan. Tentu kita mempunyai ukuran melalui spiral theory of satisfaction dan melihat dari segi keberkesanan pada kos yang dibelanjakan.

“Tanpa melihat pada aspek-aspek itu dan hanya melihat kepada berapa peratus wang yang diperuntukkan kepada kementerian kita dan agensi-agensi di bawah untuk dibelanjakan maka akuilah sebenarnya kita gagal untuk melihat bahawa kumpulan sasaran tidak memperolehi faedah daripada perbelanjaan yang besar itu,” katanya pada majlis Amanat Tahun Baru 2023 KKDW di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, warga KKDW juga perlu memberi suntikan kerohanian pada setiap program yang dianjurkan,,

“Jangan lupa, apa pun yang kita simbahkan kepada masyarakat desa tanpa suntikan rasa kerohanian pasti program itu gagal.

“Harus ada perimbangan antara fizikal dengan spiritual kerana banyak program kerajaan yang telah dirangka dan dihidangkan kepada rakyat, ianya hanya dapat dirasai dan rasa terima kasih dalam tempoh yang singkat kerana kegembiraan fizikal tidak diikuti dengan kegembiraan spritual.

“Apabila tidak ada perimbangan antara keduanya maka tidak akan ada rasa terima kasih kepada pihak yang memberi. Yang memberi itu tidak semestinya individu tapi mungkin organisasi, kepimpinan.

“Tapi apabila tidak ada rasa terima kasih itu kita lihat bahawa seolah-olah menamakan hak pada mereka tanpa rasa bersyukur,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button