PDRM ambil alih siasatan jika unsur khianat dikesan
SHAH ALAM – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan mengambil alih siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel, Seksyen 7 Shah Alam sekiranya laporan bomba mengesahkan terdapat unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa laporan daripada pemilik Wisma Jakel atau mana-mana pihak lain, berkaitan punca kebakaran bangunan itu.
Mohd. Iqbal turut sekali lagi mengingatkan orang ramai, terutama pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi atau tuduhan berhubung punca kebakaran itu.
“Kita hentilah (buat spekulasi) yang cuba menimbulkan kemarahan pekerja yang hilang pekerjaan. Kejadian ini kita tidak minta berlaku, jadi berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita berhampiran lokasi kejadian di Wisma Jakel, hari ini.
Beliau menambah, enam orang anggota polis termasuk dari cawangan trafik di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) bersama petugas bomba ditempatkan di sekitar tempat kejadian bagi mengawasi keselamatan lokasi kebakaran.
Mohd Iqbal turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan atau berhenti di bahu jalan untuk melihat kerja-kerja pemunggahan barangan tekstil yang terselamat, atau sengaja meninjau tempat kejadian, kerana ia akan mengganggu lalu lintas.
“Saya nasihatkan (orang ramai) supaya tidak berhenti bagi mengambil gambar, atau apa sahaja tujuan supaya lalu lintas di kawasan ini dapat berjalan lancar, dan proses pemunggahan dapat dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, bangunan lot kedai itu musnah 80 peratus selepas kebakaran pada 1 Jan lalu, dan sekali lagi dilaporkan mengalami kebakaran di bilik simpanan kain langsir di tingkat atas bangunan tersebut, awal pagi tadi.